Monday, April 13, 2009

JENIS-JENIS RALAT

1. Ralat Kasar/Pengguna

Ralat kasar biasanya disebabkan oleh manusia/pengguna sendiri kerana kesilapan memilih instrumen  yang tidak sesuai, salah mengambil bacaan, salah mengendalikan instrumen, terlupa set zero, kesan beban dilupakan dll.Ralat ini boleh dikurangkan dan dihapuskan dengan memberi perhatian yang sepenuhnya semasa membuat pemilihan instrumen pengukuran, semasa membuat pengukuran dan kiraan. Berjaga-jaga dengan had keupayaan instrumen, ambil bacaan sekurang-kurangnya 3 kali untuk mengelakkan ralat kasar, membaca manual instrumen, baca penunjuk dengan tepat, tiada zero offset dan ralat parallax.

2. Ralat Sistematik
Ralat sistematik akan berulang jika beberapa pengukuran dilakukan dalam keadaan dan menggunakan instrumen yang sama. Ralat sistematik boleh disebabkan oleh 2 punca utama iaitu :
a. ralat instrumen
b. ralat sekitaran.

a.Ralat instrument

Ralat instrument terjadi akibat ketidak sempurnaan instrumen itu sendiri seperti kesan dari geseran penunjuk, komponen tidak linear, ralat tentukuran alat, alat rosak. Ralat boleh ditentukan dengan membandingkan bacaan yang diberikan dengan nilai piawai dan boleh tentukan samada ralat adalah tetap atau berkadaran.
Ralat instrumen boleh dikurangkan dengan melakukan penentukuran alat, dapatkan faktor pembetulan daripada ralat yang didapati, lakukan lebih dari satu cara pengukuran. Seelok-eloknya selalu lakukan pemeriksaan alatan untuk memastikan bacaan adalah tepat seperti yang dikehendaki.

b. Ralat Sekitaran

Ralat sekitaran adalah akibat dari pengaruh keadaan sekitaran seperti suhu, kelembapan, medan magnet, elektrik/elektrostatik. Untuk mengelakkan berlakunya ralat jenis ini lakukan eksperimen/tempatkan instrumen pada suhu/kelembapan sekitaran yang dibenarkan, hindarkan dari kesan medan magnet dll. Seeloknya gunakan instrumen yang tahan terhadap perubahan keadaan sekitaran/tahan lasak.

3. Ralat Rawak
Ralat yang selain dari ralat kasar/pengguna dan sistematik yang telah dipertimbangkan dalam pengukuran. Ralat rawak boleh dikenalpasti jika bacaan berubah dengan tidak menentu, walaupun pengukuran dilakukan berulangkali. Ralat jenis ini tidak diketahui puncanya dan selalunya kurang diambil kira melainkan pengukuran memerlukan kejituan yang tinggi. Analisis secara statistik terhadap data yang diperolehi boleh dilakukan untuk melihat ketepatan pengukuran, dengan mendapatkan min dan sisihan piawainya

No comments:

Post a Comment